Gurindam Dua Belas

Fasal 7: Bahaya Lidah dan Kurang Siasat

Amaran tentang banyak bicara, dusta dan bertindak tanpa berfikir.

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah landa hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.

Sumber: Raja Ali Haji, Gurindam Dua Belas (1847) · Domain awam. Teks Rumi daripada Wikisumber (CC BY-SA).